MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mengakui makin bimbang dengan kemungkinan hilang khidmat Marouane Fellaini ketika rundingan kontrak baharu antara pemain tengah Belgium itu dengan pengurusan The Red Devils belum menemui noktah.
Namun, Mourinho mendedahkan beliau langsung tidak terbabit dengan perbincangan itu dan Fellaini difahamkan mahu lanjutan kontrak untuk tempoh yang lebih lama berbanding yang ditawarkan oleh lembaga kelab, September lalu.
Selepas itu, rundingan berkenaan terhenti dan Januari depan, kontrak Fellaini bakal berbaki enam bulan sekali gus membolehkannya bebas untuk melakukan perbincangan bersama kelab lain.
"Ya," kata Mourinho ketika ditanya mengenai kemungkinan hilang khidmat Fellaini.
"Perbincangan itu antara pemain dan lembaga pengurusan kelab. Saya tidak terbabit dan saya menghormati kedua-dua pihak.
"Saya menghormati pemain kerana dia ada hak menentukan masa depannya. Saya hormati lembaga pengurusan kelab kerana keputusan dan perbincangan di bawah tugas mereka. Jadi, kita tunggu saja dan harap akan ada persetujuan antara kedua-duanya."
Kelab Turki, Besiktas, Fenerbahce dan Galatasaray sudah pun menyatakan minat dan difahamkan sudah bersedia membuat tawaran empat tahun kepada pemain tengah itu. Sebelum ini, dua kelab Itali, AS Roma dan Napoli turut dikaitkan dengan Fellaini. AFP

No comments:
Post a Comment